Ucapan Salam Jumaat – Senarai Hadis Kelebihan Hari Jumaat

Pada hari Jumaat, lelaki Islam yang cukup syarat wajib untuk pergi menunaikan solat Jumaat. Disamping itu, digalakkan juga untuk melakukan perkara-perkara sunnah hari jumaat.

Ia termasuklah mandi sunat, memakai wangian, membaca al Quran, berdoa dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, bersedekah dan banyak lagi.

Terdapat banyak dalil Hadis Nabi saw dan Firman Allah saw yang menjelaskan tentang kelebihan hari jumaat ini. Antaranya ialah:-

Ucapan Hari Jumaat – Ayat alQuran

فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَٱبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِ ٱللَّهِ وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ

كَثِيرًۭا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ١٠

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

Surah al-Jumu’ah, ayat 10

Ucapan Hari Jumaat – Hadis Nabi saw

Ucapan Salam Jumaat - Senarai Hadis Kelebihan Hari Jumaat

Abu Hurairah ra berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari adalah hari Jumaat, kerana pada hari itu nabi Adam diciptakan. Hari itu jugalah beliau dimasukkan ke dalam syurga dan dikeluarkan semula dari situ.” – Hadis Riwayat Muslim.

Abu Hurairah ra berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk dan pergi bersembahyang Jumaat, kemudian beliau duduk diam sambil mendengar khutbah, Allah mengampunkannya dari Jumaat hari ini hingga Jumaat akan datang. Tidak cukup dengan itu, pengampunan itu ditambah lagi untuk tiga hari berikutnya. Sesiapa yang memegang batu kerikil dengan niat menjadikannya sebagai alat permainan sehingga menyebabkannya leka dan tidak mendengar khutbah, beliau sudah melakukan satu kesalahan.” – Hadis Riwayat Muslim.

Abu Hurairah ra berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Tempoh waktu antara satu sembahyang fardu ke sembahyang fardu yang berikutnya, antara sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya, antara bulan Ramadan ke bulan Ramadan akan datang, adalah waktu penebus dosa, selagi orang itu tidak melakukan dosa-dosa besar.” – Hadis Riwayat Muslim.

Abdullah bin Umar berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Sekiranya saudara hendak pergi bersembahyang Jumaat, mandilah terlebih dahulu.” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Baca: Senarai Ucapan Takziah dan Doa Untuk Orang Meninggal

Abu Said al-Khudri berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Mandi pada hari Jumaat itu digalakkan bagi setiap orang yang sudah baligh.” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Samurah berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk sahaja sebelum pergi bersembahyang Jumaat sudah memadai. Tetapi, siapa yang mandi adalah lebih baik.” – Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi

Salman berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang melakukan perkara berikut pada hari Jumaat, diampunkan dosanya pada hari Jumaat itu sehingga ke Jumaat berikutnya. Amalan itu adalah mandi dan bersuci mengikut kemampuannya. Kemudian dia memakai minyak wangi dan pergi ke masjid. Tiba di masjid dia tidak mengganggu orang dengan menyelit-nyelit di antara dua orang, kemudian dia terus bersembahyang sunat masuk masjid.
Selepas itu, dia duduk diam dan tidak bercakap sepatah pun ketika imam
berkhutbah.” – Hadis Riwayat Bukhari.

Ucapan Salam Jumaat - Senarai Hadis Kelebihan Hari Jumaat

Abu Hurairah berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi ketika menghilangkan hadas besar dan pergi awal ke masjid, beliau mendapat pahala seperti berkorban seekor unta.
Sekiranya beliau pergi pada waktu kedua, beliau mendapat pahala seperti berkorban seekor lembu. Sekiranya beliau pergi pada waktu ketiga, beliau mendapat pahala seperti berkorban seekor kambing. Sekiranya beliau pergi pada waktu keempat, beliau mendapat pahala seperti berkorban seekor ayam betina. Sekiranya beliau pergi pada waktu kelima, beliau mendapat pahala seperti berkorban hanya sebiji telur. Apabila imam sudah bersedia hendak berkhutbah di atas minbar, para malaikat yang mencatat amalan tadi duduk diam mendengar khutbah.” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Abu Hurairah berkata, “Pada suatu hari, Rasulullah bercakap berkenaan hari Jumaat. Beliau berkata, ‘Pada hari Jumaat, ada waktu yang apabila seorang
Muslim bersembahyang pada ketika itu dan berdoa kepada Allah, pasti diperkenankan doanya itu? Rasulullah memberi isyarat dengan tangannya menunjukkan waktu yang dimaksudkannya itu singkat.” – Hadis Riwayat
Bukhari dan Muslim.

Abu Burdah bin Abu Musa al-Asy’ari berkata: “Abdullah bin Umar bertanya, ‘Adakah saudara mendengar ayah saudara melaporkan daripada
Rasulullah berkenaan waktu dimakbulkan doa pada hari Jumaat?’ Abu Burdah menjawab, ‘Ya, ayah saya memberitahu, beliau mendengar Rasulullah berkata,
‘Waktu tersebut adalah ketika imam berada di atas mimbar sehinggalah sembahyang Jumaat selesai dilaksanakan.'” – Hadis Riwayat Muslim.

Aus bin Aus berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Hari yang paling utama dalam seminggu adalah hari Jumaat. Oleh itu, banyakkanlah berselawat untuk saya pada hari itu. Sebenarnya, semua selawat yang saudara ucapkan itu dilaporkan oleh malaikat kepada saya.” – Hadis Riwayat Abu Daud.