Karangan Syarahan – Tabiat Membaca Dalam Kalangan Kanak-kanak

Selamat pagi dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada Puan Pengetua Sekolah Menengah Sains Muar, guru-guru, dan murid-murid yang saya kasihi sekalian. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Persatuan Bahasa Malaysia Daerah Muar kerana mengundang saya untuk menyampaikan syarahan pada pagi ini. Tajuk syarahan saya ialah “Tabiat Membaca dalam Kalangan Kanak-kanak”.

Hadirin sekalian,

Tabiat membaca sememangnya banyak mendatangkan manfaat. Oleh itu, minat membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi, iaitu pada peringkat kanak-kanak. Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting kerana mereka sentiasa mendampingi anak-anak di rumah. Pelbagai galakan boleh diambil seperti menyediakan bahan bacaan yang menarik, bermutu tinggi, sesuai dengan tahap umur, dan dapat menghiburkan anak-anak. Di samping itu, ibu bapa itu sendiri harus menunjukkan minat membaca tatakala berada di rumah agar tabiat ini menjadi ikutan anak-anak.

Selain ibu bapa, masyarakat juga turut memainkan peranan untuk menyemai minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Pihak-pihak tertentu perlu mengadakan aktiviti-aktiviti yang dapat menyemai minat membaca. Contohnya seperti pertandingan bercerita, pertandingan menulis, sayembara puisi dan sebagainya.

Baca: 15 Doa Untuk Anakku Tersayang – Berjaya, Dilindungi Allah

Di peringkat sekolah pula, program yang sering dilakukan seperti Program Nilam amatlah bertepatan dan perlu disokong oleh semua pihak. Program ini antara lain bertujuan untuk menyemaikan minat membaca dalam kalangan murid. Selain itu, pihak sekolah juga digalakkan untuk menyediakan pondok-pondok bacaan agar murid-murid dapat mengisi masa lapang ketika rehat dengan aktiviti membaca.

Hadirin sekalian,

Bagi merealisasikan aspirasi negara untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berwawasan, kita perlulah mengambil pelbagai inisiatif agar tabiat suka membaca menjadi amalan dalam kalangan kanak-kanak. Demi kemaslahatan negara. Sekian terima kasih.