Ucapan – 6 Hadis Kelebihan Bersahur dan Melewatkannya

Kita berpuasa dalam usaha mengabdikan diri kepada Allah swt dan berlumba-lumba untuk melakukan perkara yang disukai Allah swt khususnya pada bulan Ramadan.

Maka dengan itu, ikutilah sunnah Nabi saw termasuk amalan bersahur.

Besarnya keberkatan dan rahmat Allah, sehingga seseorang yang bangun bersahur ketika berpuasa, dihitung sebagai amalan ibadah yang diberi ganjaran oleh-Nya.

Baca: 70 Ucapan Selamat Berbuka Puasa Ramadan, Sarat Doa

Keberkatan Makan Sahur

Anas ra berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: ‘Bersahurlah saudara semua. Ini kerana terdapat keberkatan dalam bersahur itu.'” – Hadis Riwayat oleh Bukhari dan Muslim.

Jarak Waktu Sahur dan Solat Subuh

Zaid bin Sabit berkata, maksudnya: “Kami bersahur bersama Rasulullah saw. Selepas itu kami bangun bagi menunaikan solat subuh.” Orang bertanya kepadanya, “Berapa lama jarak masa antara waktu sahur dan solat subuh itu?” Zaid menjawab, “Kira-kira sempat membaca 50 ayat al-Quran.” – Hadis Riwayat oleh Bukhari dan Muslim.

Abdullah bin Umar berkata, maksudnya: “Rasulullah saw mempunyai dua orang tukang azan. Mereka adalah Bilal dan Ibnu Ummu Maktum. Rasulullah saw menerangkan, ‘Sebenarnya Bilal melaungkan azan ketika waktu malam iaitu sebelum fajar menyingsing. Masa itu bersahurlah kamu sehingga Ibnu Ummu Maktum pula melaungkan azan menandakan masuknya waktu subuh.'”
Abdullah bin Umar berkata, “Tidak ada jarak masa antara mereka itu.
Apabila Bilal selesai berazan, Ibnu Ummi Maktum pula menggantikannya.” Maksudnya, jarak masa antara keduanya tidaklah terlalu lama. – Hadis Riwayat oleh Bukhari dan Muslim.

Ucapan - Hadis Kelebihan Bersahur dan Melewatkannya

Sahur Membezakan Puasa Orang Islam Dengan Puasa Orang Yahudi dan Nasrani

‘Amr bin al-As berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Perbezaan antara puasa kita dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani adalah bersahur.” – Hadis Riwayat oleh Muslim.

Allah dan Malaikat Berselawat Untuk Orang yang Bersahur

Daripada Abu Said al-Khudri meriwayatkan daripada Nabi SAW yang bermaksud: “Semua sahur adalah berkat. Sebab itu, jangan kalian tinggalkan meskipun salah seorang daripada kalian hanya minum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya memberikan selawat untuk orang-orang yang bersahur.”  – Hadis Riwayat Ahmad

Orang Bersahur akan Sentiasa Dalam Keadaan Kebaikan

Sabda Nabi saw yang bermaksud: “Umatku terus berada dalam kebaikan, selagi mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur.” – Hadis Riwayat Iman Ahmad