Doa Israk Mikraj – Kelebihan dan Pengajaran Peristiwa

Peristiwa agonng Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab (malam Isnin), tahun ke-11 kerasulan iaitu kira-kira 18 bulan sebelum hijrah Nabi Muhammad saw dari Kota Mekah ke Kota Madinah.

Bagi memperingati peristiwa yang sangat luar biasa ini, ia disambut dengan meriah oleh umat Islam termasuklah di Malaysia yang telah dilalui Rasulullah s.a.w.

Peristiwa paling agung dalam sejarah Islam ini, dianggap sebagai satu anugerah daripada ALLAH kepada Nabi Muhammad saw. Antara implikasi peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah perintah kewajipan menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam ke atas orang Islam.

Antara Kelebihan dan Pengajaran Peristiwa Israk Mikraj ini ialah:-

Doa Israk Mikraj - Kelebihan dan Pengajaran Peristiwa

Menzahirkan keistimewaan Masjid al-Aqsa

Perjalanan israk Nabi SAW menuju masjid yang berada di bumi Palestin sebagai tempat transit, sebelum mikraj bertolak ke Sidratul Muntaha telah menunjukkan betapa mulia dan agung masjid tersebut.

Baitul Maqdis dijadikan sebagai persinggahan kerana ALLAH SWT mahu menunjukkan kepentingan Baitul Maqdis kepada umat Islam.

Bahkan masjid ini pernah menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah menghadap ke arah Kaabah. Pahala solat di Masjid al-Aqsa adalah sebanyak 500 kali ganda berbanding masjid biasa.

Menzahirkan bahawa Islam adalah agama yang suci.

Ketika Nabi Muhammad saw diberi pilihan antara air susu dan khamar, baginda telah memilih susu. Kemudian Malaikat Jibril as menjelaskan Nabi Muhammad saw memilih kesucian sebagai isyarat bahawa Islam agama suci atau fitrah.

Kewajipan mendirikan ibadah solat fardhu lima waktu sehari semalam.

Peristiwa ini menggambarkan kepentingan solat lima waktu yang disyariatkan secara langsung di hadapan Allah SWT. Perintah ini berlaku secara langsung tanpa melalui perantaraan Malaikat Jibril as sepertimana syariat bagi ibadah-ibadah yang lain.

Walaupun pada awalnya Allah SWT memerintahkan didirikan sebanyak 50 waktu, atas nasihat daripada Nabi Musa as, baginda Nabi saw telah memohon agar dikurangkan sehinggalah perintah solat menjadi lima waktu sehari semalam seperti hari ini.

Tanda kekuasaan Allah swt

Allah juga ingin menunjukkan betapa besarnya kekuasaan-Nya. Dengan kehendak Allah, apa-apa saja boleh berlaku mengikut kehendak-Nya.

Peristiwa agong Israk Mikraj ini merupakan perjalanan dan pengalaman Nabi Muhammad yang benar-benar terjadi dan bukan hanya perjalanan rohani atau mimpi Baginda saw semata-mata.

Pembersihan hati

Sebelum peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW telah ‘dibedah’ oleh malaikat bagi membersihkan jiwa Baginda dari dari sifat-sifat buruk. Allah berfirman bahawa Islam itu bersih, maka bersihkanlah jiwa raga kerana sesungguhnya tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang yang bersih.

Hadiah untuk menggembirakan hati Nabi Muhammad saw

Peristiwa ini juga sebagai hadiah untuk menggembirakan Rasulullah SAW kerana ketika itu merupakan Tahun Kesedihan Rasulullah di mana baginda kehilangan isteri dan bapa saudara yang tercinta iaitu, Abu Talib dan isterinya, Khadijah ra.

Selain itu, tatkala Nabi Muhammad saw pergi berdakwah di Thaif, kehadiran Baginda disambut dengan makian dan batu-batu yang dilontar ke arahnya sehingga kaki Baginda berdarah.

Kesedihan demi kesedihan yang dialami ini menyebabkan Baginda mengadu kepada ALLAH swt dan berdoa agar diberikan kemudahan dan kekuatan untuk menghadapi ujian.

Doa Israk Mikraj

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. – Surah Isra’, ayat 1