Contoh Karangan Ucapan Majlis Perpisahan Pelajar

Yang berusaha Puan Pengetua, Hajah Non binti Muhammad, Guru Penolong Kanan Hal Akademik, Puan Fatimah binti Supardi, guru-guru, dan rakan seperjuangan sekalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan. Bersyukur kita kehadrat illahi kerana dengan limpah kurnianya dapat bersama dalam majlis ini. Terima kasih kerana memberi saya peluang untuk berucap pada pagi yang indah ini.

Hadirin sekalian,

Seperti mana yang kita sedia maklum, tujuan majlis ini diadakan adalah untuk meraikan kejayaan seorang murid sekolah ini, iaitu Arifbilah bin Idris. Dia telah dipilih sebagai penerima Anugerah Murid Terbaik (AMT) di sekolah kita pada tahun ini. Saya serta warga sekolah mengucapkan syabas dan tahniah kepada Arifbilah. Dia merupakan murid yang bukan saja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang kokurikulum. Dia pernah mewakili negeri Selangor untuk acara olahraga dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia.  

Baca: Terima Kasih – Menghargai Ucapan Hari Lahir dan Hari Jadi

Selain itu, Arifbilah telah muncul sebagai Pembahas Terbaik dalam Pertandingan Pidato Piala Menteri Besar Selangor. Sesungguhnya, dia telah banyak mengharumkan nama sekolah baik pada peringkat daerah mahupun pada peringkat negeri. Arifbilah murid yang baik hati. Dia sering membantu rakan-rakan yang lemah dalam pelajaran. Dia tidak pernah lokek ilmu. Jika ada antara kami yang bertanyakan sesuatu, dia akan memberikan penerangan secara terperinci. Malah, dia mengajak kami belajar secara berkumpulan. Dengan itu, kami dapat berbincang tentang pelajaran. Hal ini dapat melatih kami agar berani memberikan pendapat juga. Itulah kelebihan yang dimiliki oleh Arifbilah. Dia tidak pernah bersikap mementingkan diri. Dia mahu kami, rakan-rakannya mengecap kejayaan bersama-sama dengannya.

Hadirin sekalian,

Arifbilah akan meninggalkan sekolah ini dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh. Saya dan rakan-rakan berasa sedih kerana kehilangan rakan yang berbudi bahasa, baik, dan berhemah tinggi. Semoga Arifbilah dapat menyesuaikan diri di sekolah baharu nanti.

Kami berharap agar dia dapat berusaha dengan lebih gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang pada masa depan. Arifbilah pernah berpesan kepada kami supaya belajar dengan tekun untuk meraih kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Hanya pelajaranlah yang dapat mengubah nasib keluarga kami. Kesusahan hidup bukanlah alasan untuk malas belajar. Segala pesanan Arifbilah itu akan kami ingati sampai bila-bila.

Hadirin yang saya kasihi,

Sekali lagi, saya mengucapkan tahniah kepada Arifbilah yang telah berjaya mengharumkan nama sekolah ini. Mudah-mudahan kejayaan yang anda peroleh ini akan menjadi pendorong kepada murid-murid yang lain untuk menggapai kejayaan. Sebelum mengundurkan diri, saya memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap semasa saya menyampaikan ucapan sebentar tadi.

Sekian, terima kasih.